Showing posts with label Kehidupan aku. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan aku. Show all posts

Sunday, June 12, 2011

Berblog kembali

Sudah lama aku tak update blog ini. Sebenarnya, aku dah semakin kurang hendak berblog. Maklumlah, kehidupan aku sekarang dah semakin sibuk. Dengan kerja dan tanggungjawab yang semakin bertambah, sokong pada isteri tercinta didalam memajukan lagi perniagaan lagi, dengan belajar dll.

Sekarang dah pukul satu, tapi mata aku masih segar lagi. Semalam aku baru balik dari Kelantan menghantar anak-anak aku kepada ex-wife. Sudah dua minggu mereka bersama aku disini. Bertolak awal pagi dalam pukul 5.30 pagi. Solat Subuh sekejap di Petronas di leburaya NKVE dan tiba disana dalam pukul 2.00 petang. Lambat jugak lah sampai, sebabnya aku bawa kereta rileks aje. Malas nak terkejar-kejar. Lagipun sepanjang perjalanan banyak kereta. Dan yang hairannya, setiap kali berselisih kereta yang menghala ke KL, semuanya mengibarkan bendera Kelantan.

Hairan juga aku, ada majlis apa? Kemudian teringatkan Kelantan masuk final bolasepak lawan Terengganu. Patut lah berderet-deret kereta menghala ke KL. Sungguh bersemangat ! Aku tak berapa minat sangat dengan bola. Jadi jarang aku ikut perkembangannya itu. Tapi sayang, tadi bapak aku cakap keputusan perlawanan bola dimenangi oleh Terengganu. Kesian pulak aku rasa.

Jadi bila sampai ke Kelantan terus hantak mereka kepada maknya. Tengok anak-anak pergi ikut mak nya ... rasa syahdu pulak. Isteri aku pun sama. Dia rapat dengan anak aku yang bongsu, Iman, sebab dia pandai ambil hati orang. Isteri bercerita, "Iman ingat 2 minggu itu masih lama lagi. Dia suruh Mama (panggil untuk isteri) beritahu pada Mama supaya beritahu Abah untuk hantar lambat-lambat sikit.

Tapi apa nak buat. Hidup memang begitu. Kita tak boleh nak sentiasa dapat apa yang kita inginkan. Teringat aku dengan ceramah agama yang berkumandang di radio semasa dalam perjalanan tadi.

Kata ustaz tersebut, "dunia ini tempat ujian. Orang yang banyak ketawa didunia, takut diakhirat dialah yang paling banyak menangis.

Dunia ini bukan tempat untuk bersenang-lenang. Dunia memang tempat penuh dengan keluh kesah dan masalah. Semuanya hanya kerana Allah mahukan kita untuk sentiasa ingat kepadaNya.

Anugerah Allah itu teramatlah banyak. Dia tak pernah mintak sebarang bayaran pun tapi hanya sekadar beribadat kepadaNya serta taat akan segala perintahnya. Kemudian jika Allah bagi kita kesenangan, dia mintak kita untuk membantu menyenangkan hamba-hambanya yang lain sebagai balas atas anugerah yang telah beliau berikan itu. "

Akan tetapi, aku percaya setiap sesuatu punyai hikmah tersendiri. Aku terbaca di dalam akhbar beberapa hari lalu mengenai isu warga tua yang dah pencen. Kebanyakkan mereka menghadapi kemurungan semasa mencapai usia tersebut. Kenangan yang paling mereka kerap fikirkan adalah semasa bersama anak-anak. Akan tetapi bila anak-anak sudah dewasa, mereka sudah mempunyai kehidupan sendiri dan ini menyebabkan ibubapa mereka rasa tersisih dan kesunyian.

Mungkin aku tidak akan terasa kehilangan dan tersisih sangat bila anak-anak sudah membesar nanti. Mungkin ujian aku lain. Sesungguhnya Allah hanya akan menguji seseorang itu dengan ujian yang mampu ditempuhinya sahaja. Allah tidak akan menguji seseorang diluar kemampuannya.

Selepas hantar anak, aku ke Rumah makcik Nah di Lundang untuk tumpang bermalam. Tapi malangnya beliau tiada dirumah. Kakak ipar beliau yang duduk selang satu rumah pun senyap sunyi. Jadi aku ambil keputusan untuk balik aje lah. Lagipun aku biasanya bila ambil anak-anak aku akan balik hari. Aku malas nak menumpang rumah orang sebab taknak menyusahkan mereka.

Aku pergi rumah mereka sebab mak aku kirimkan sedosen sos cili Thai yang dibuat sendiri oleh beliau untuk diberikan kepada Makcik Nah & kakak iparnya. Jadi kalau dah sampai rumah mesti kena tidur semalam kat situ. Kang tolak kecik hati pulak.

Memandangkan mereka tiada, aku tinggalkan botal didepan pintu rumah berserta nota sebagai makluman.

Bertolak pulang pukul 3 petang. Dah aku mengantuk sangat, aku mintak isteri untuk bawak kereta sampai ke R&R Gua Musang untuk bagi peluang aku untuk 'power nap' sekejap. Sampai R&R Gua Musang aku take over. Sampai rumah tepat pukul 11.30 malam.


Tuesday, April 5, 2011

Muhasabah diri

Gambar diambil di dalam kereta semasa perjalanan ke Sungai Congkak -31 Januari 2009

Aku sebenarnya tak ada 'mood' hendak berblog hari ini. Otakku penat. Di pejabat, kerja mula menimbun. Fungsi dan peranan jabatan aku semakin berkembang maka tuntutan terhadap prestasi makin tinggi.

Aku merindukan saat diluar bersama kamera merakamkan kehidupan. Satu alat untuk menghentikan masa walau hakikatnya masa tidak pernah berhenti berlalu.
Cermin...Cermin kehidupan... sekerap mana kita menggunakan untuk mencantikkan penampilan dan memperkemaskan diri sesekali kita cermin-cermin kan jua pada akhlak dan akidah kita pada yang Esa. Sejauh mana kita telah menunaikan hak Allah sebagai Tuhan yang Esa, Tuhan kepada segala makhluk dan Tuhan kepada segala insan.

Hari ini isteri bercerita tentang ilmu yang diperolehinya semasa kelas agama. Ustaznya berkata, "orang yang beriman, yang mana ia beramal dan beriman dengan agama dengan kuat, tetapi jika tidak menegur kemaksiatan yang berlaku didepan matanya walaupun ia berkuasa untuk melakukannya, diakhirat kelak, sedang ia hendak melangkah masuk ke syurga, malaikat akan menariknya keluar lalu dicampakkan ke dalam neraka. Hanya kerana, orang yang membuat maksiat tadi mengadu kepada Allah bahawa si polan itu ada semasa dia melakukan maksiat tapi tidak menegur akan perbuatannya itu walaupun berkuasa untuk melakukannya.

Menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk menegur sebarang pelanggaran maksiat yang dilakukan oleh seseorang. Sama ada ia perbuatan kita itu akan dapat menghentikan kemaksiatan itu atau tidak, itu tidak penting kerana setiap perkara itu berlaku dengan keizinan dan kehendak Allah. Hanya Allah yang menentukan siapa yang menerima hidayahnya dan siapa yang tidak. Oleh itu, mari kita sama-sama laksanakan tanggungjawab itu mengikut kemampuan kita.

Saturday, April 2, 2011

Tahniah pada Razmah & Din

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Penat balik dari Kelantan belum hilang lagi. Aku bertolak ke Kelantan bersama isteri menggunakan kapal terbang Air Asia pada hari Khamis pukul 7.40 pagi dan kembali ke Shah Alam bersama ayahku dengan kereta Kelisa dan tiba tepat pukul 12.00 malam. Keesokkan harinya aku kena kerja pulak. Itu yang letih lambat nak hilang itu.

Pada Mohd Asri, (penulis blog Langkah demi Langkah), aku ada terima sms kau hari Jumaat itu. 'Sorry' aku tak dapat nak balas. Kredit talifon aku habis dan sampai sekarang aku belum sempat nak 'top-up' balik. Pasal soalan kau berkenaan ahli Cosway, aku dah lama dah tak buat perniagaan itu. Kalau kau nak daftar ahli, mungkin kau boleh rujuk dengan Izman (penulis blog berkongsi cerita & rasa) sebab dia masih lagi ahli Cosway. Aku harap anak kau sihat walafiat hendaknya. Jika kau baca 'entry' ini, aku nak berkongsi pada kau akan blog adik aku yang menulis artikel yang bagus tentang 4 perkara yang perlu dilakukan bila anak jatuh sakit. (Penulis blog Miakididdles)


Hari ini aku berkongsi tentang suatu cerita yang mengembirakan keseluruhan keluarga aku. Pasal 'one day trip' aku ke Kelantan, ada kesempatan aku akan kongsikan nanti, Insya Allah.


Pada hari Jumaat, 1 April 2011, adik kembar aku Razmah telah selamat melahirkan anaknya yang ketiga. Beliau melahirkan anak ketiganya melalui kaedah pembedahan di Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) dan 1 April telah dipilih kerana untuk mendapat tarikh lahir yang sama dengan anak buah aku bernama Dzakirah.

Beliau amat mengharapkan anak ketiga ini untuk mendapat anak perempuan, tapi sesungguhnya Allah menentukan segalanya dan hanya Beliau amat mengetahui akan perkara yang tidak kita ketahui. (Merujuk kepada surah Al-Baqarah :30 " ... Firman Tuhan: Sesungguhnya Aku (Allah) amat mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui "


Namun begitu, kami semua bersyukur dengan pemberianNya. Agaknya disebabkan keinginan ibu yang kuat untuk memiliki anak perempuan, rupa bayi itu pun keluar mempunyai ciri-ciri yang diidamkan si ibu. Waullahualam... Aku doakan agar anak tersebut diberi kesihatan yang baik dan membesar sebagai anak yang soleh yang taat dan patuh pada kedua ibubapanya dan tuntutan agama Islam. Amin...


P/S : Saat artikel ini ditulis, si ibu dan si bapa masih mencari nama-nama yang baik untuk diberikan.



Nak pegang tak dapat... Baby asyik tidur aje...hehehe..


Bayi-bayi yang dilahirkan pada 1 April...


Din memangku Damia (Anak Azlin) untuk melihat bayi di bilik bayi.



Aku memang suka melihat ekspresi air muka anak-anak apabila bertindak balas pada sesuatu.

Tuesday, March 29, 2011

Perjalanan untuk kurus bermula....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Hari ini lepas pejabat aku ke gym sekejap. Lama dah tak 'workout'. Berat badan pun dah semakin meningkat. Nak timbang pun takut . Kali terakhir aku timbang, berat badan dan mencecah 98kg berbalik pada berat asal aku semula sebelum aku menyertai program 'Lose & Gain' anjuran pejabat ditempat aku bekerja iaitu 99kg.

'Lose & Gain' ini program dia lebih kurang macam program 'The biggest Loser' cuma namanya ditukar untuk mengelakkan masalah hak cipta. Program dibuat dengan kerjasama True Fitness. Hadiah sebanyak RM3,000 ditawarkan untuk pemenang. Aku tak menang pun tapi sekurang-kurangnya aku dapatlah turunkan berat badan sebanyak 10kg.

Masa itu merasa juga lah menggunakan segala kemudahan True Fitness daripada kelas arobiknya, yoga nya dll lagi. Sekarang bila tak ada kemudahan itu lagi, bergantung dengan gym di pejabat sahaja lar.

Kita bila dah banyak hilang berat badan ini, perkara yang susah selepas itu ialah mengekalkannya. Kalau kita berhenti, badan akan naik balik dan kali ini lebih cepat. Contohnya boleh dilihat pada seorang yang menjadi juara didalam pertandingan 'The Biggest Loser' aritu. Bila rancangan itu membuat 'follow-up' pada para peserta yang memasuki pertandingan itu ada yang berjaya mengekalkan cara hidup yang sihat tetapi ada juga yang kembali kepada keadaan asal sebelum memasuki pertanding.

Mengapa ? Jawapannya ialah disiplin diri dan keinginan yang mendalam didalam diri.

Jadi, disini bermula kembali. Impian aku untuk kurus semula...ahaks! Hari ini aku buat 'exercise' menggunakan stationary bikes selama 20 min dan treadmills selama 20 min. Aku berazam akan pergi ke gym sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu. Esok tak dapat nak 'workout' sebab aku ada kelas mandarin dan kelas mengaji pulak....

Cuma cabaran aku yang paling besar yang boleh menghalang aku dari mencapai impian aku itu adalah menahan diri untuk makan masakkan isteri yang sedap-sedap. Lagi kuat aku nak berdiet, lagi sedap lak dia masak... cobaan... cobaan..

Monday, March 28, 2011

Hari memperbaharui visa jangka panjang

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani.

Hari ini aku cuti sebab hendak ke imigresen Shah Alam untuk menguruskan permohonan visa menetap untuk jangka panjang bagi isteri. Isteri saya berasal dari Singapura. Tahun ini sudah tahun ke-3 beliau menetap disini. Visa kemasukan untuk warga Singapura cuma untuk sebulan sahaja. Selepas itu, kena balik ke Singapura dan masuk balik ke Malaysia untuk mendapatkan penyambungan. Jadi, kalau tak nak pergi chop di sempadan nak hendak dapatkan tempoh yang lebih lama, maka kena mohon visa jangka panjang ini lah. Visa ini bukan semua orang boleh mohon, cuma untuk mereka yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau untuk program 'Malaysia My Second home' (MM2H) .

Diawal perkahwinan aku, aku menetap di Gombak Setia. Masa itu Gombak dengan Singapura rasa macam sebelah rumah aje. Sebulan sekali aku akan ke Singapura. Jarak perjalanan cuma memakan masa lebih kurang 3 jam jika memandu. Jadi setakat pergi balik hari yang sama itu memang aku biasa buat. Ada dalam 6 bulan jugak lah aku buat kerja gini. Sekali turun sekurang-kurangnya Rm200 terbang!

Kadang-kadang masalah jugak masa itu terutama sekali masa zaman menularnya virus H1N1. Masa itu ada keluar polisi di pejabat yang mengatakan siapa yang pergi Oversea tidak dibenarkan masuk ke pejabat selama 1 minggu sebagai langkah untuk mengelak penyebaran virus tersebut. Ikutkan ia bukan suatu masalah pun, lagi baik untuk aku sebenarnya sebab dapat cuti free akan tapi sebagai pekerja yang berdidikasi (nak termuntah aku bagi statement ini) kita tak nak ambil kesempatan.

Masa mula-mula dulu bukan aku tak nak mohon visa menetap jangka pangjang. Cuma masalahnya nak memohon visa ini kena ada surat pengesahan nikah dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Jadi disitulah masalahnya. Orang yang berkerja ditempat aku buat permohonan itu lembab. Aku tahu bukan semua orang JAIS begitu tapi dalam kes aku, aku memang tak bernasib baik terkena orang yang lembab dan tak ikhlas bekerja. Memandangkan aku duduk diGombak, jadi aku berurusan dengan JAIS bahagian Gombak Timur yang pejabat terletak dekat Taman Keramat.

Proses pertama yang dilakukan oleh JAIS dalam memproses permohonan aku ialah mendapatkan pengesahan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tentang ketulenan sijil nikah yang dikeluarkan MUIS. Masalahnya, JAIS kena isukan 2 kali surat rasmi kepada MUIS untuk mendapatkan jawapan tersebut. Bila surat pertama keluar, aku tunggu 3 bulan untuk dapatkan jawapan dari pihak MUIS tapi tak ada. Malas nak tunggu aku mintak JAIS surat kedua untuk aku hantar 'by hand' ke MUIS.

Bila aku jumpa pihak MUIS mereka kata mereka baru terima surat yang pertama 2-3 hari lepas dan mereka tunjukkan pada aku surat yang diterima. Hampeh! rupanya JAIS punye kerja... Dalam 3 bulan itu diorang tak buat apa-apa pun. Kalau aku tak 'follow-up' 10 tahun pun tak akan siap. Makan gaji buta betul.

MUIS kata mereka pelik dengan JAIS kerana mintak pengesahan tulin sebegitu kerana sijil nikah yang dikeluarkan MUIS bukan sebarangan. Ibarat seperti kad pengenalan. Ia punyai sekuriti keselamatan yang tinggi. Mereka pernah beritahu pada Jabatan agama diMalaysia tentang hal tersebut tetapi jabatan agama diMalaysia macam tak ambil peduli aje. Jadi bagi MUIS mereka layankan sahaja walaupun mereka merasakan ia tidak perlu. Perihal ini sepatutnya telah diketahui oleh JAIS kerana tak kan lah pertama kali mereka menerima permohonan sebegitu. Memanglah setiap jabatan itu punyai sistem proses yang tersendiri. Tapi cuba lak rangka proses itu bagi membantu rakyat... bukan asyik nak menyusahkan aje. Apa ingat kita ini mintak sedekah ke ?

Itupun, aku kena tunggu dalam sebulan untuk surat jawapan dari MUIS diterima JAIS. Selepas dapat surat pengesahan, aku kena jalani temuduga pulak dengan pembantu kadi. Diorang nak tengok tentang acara majlis nikah dijalankan, siapa wali, siapa saksi. Kalau begitu nak buat apa mintak pengesahan sijil nikah Singapura. Kan ke bodoh proses itu.

Apa nak buat... aku layankan aje lar...Nasib baik masa kahwin di Singapura aku ada ambil video. Akhir sekali, untuk penutup aku kena lafas teks taklik untuk kali kedua.

Seterusnya bila sijil nikah dikeluarkan seminggu kemudian, maklumat yang dimasukkan pulak salah. Pelik aku...rekod semua depan mata. Kerja pun boleh khayal. Ini lah masalah bila orang kerja tak ikhlas.


Nasib baik bila berurusan dengan pihak imigresen tak ada masalah sangat. Pihak imigresen sekarang sudah semakin cekap dan efisyen. Namun begitu masih lagi ada ruang yang boleh diperbaiki . Sebagai contoh, ialah dokumentasi yang diminta asyik berulang-ulang aje. Rasanya untuk dokumen seperti salinan surat nikah dan salinan kad pengenalan tak payah lah nak diminta lagi sebab semasa permohonan pertama kita sudah berikan. Rasanya didalam rekod aku pasti sudah melambak dokumentasi tersebut. Mungkin ini sesuatu yang patut aku ketengahkan kepada pihak PEMUDAH untuk perhatian.

Jadi hari ini merupakan permohonan isteri aku yang kali ke-5 untuk visa menetap dalam jangka panjang. Kali ini dia dah boleh mohon untuk jangkamasa 5 tahun. Mula-mula dulu, dia cuma dapat 6 bulan dan kemudian diberi setahun. Tapi sekarang dah 5 tahun lah. Tadi, isteri cuma minta untuk 4 tahun sebab bagi tahun ke 5 dia dah boleh buat permohonan untuk dapatkan PR pulak nanti.

Setahun, bayaran dikenakan untuk visa sebanyak RM90. Jadi 4 tahun maka semuanya dalam RM360. Bayaran yang dikenakan itu tak semuanya sama. Ia berbeza-beza mengikut negara- negara tertentu. Bermula berurusan pada pukul 9.30 pagi, segala urusan selesai tepat pukul 2.00 petang. Cepat kan!..

Saturday, March 26, 2011

Annual Dinner 2010 punyer...

Semalam aku ke Pusat Konvensyen KLCC kerana syarikat aku menganjurkan majlis makan malam tahunannya. Sepatutnya majlis ini sudah berlangsung sejak tahun lepas. Tapi masalah timbul bilamana tempat yang menjadi pilihan sewaktu itu iaitu di Hotel Sunway mempunyai isu dari segi status halal makanan yang dihidangkan. Kesannya ia terpaksa ditunda ke hari tersebut.

Isteri aku nak ikut, tetapi malangnya ia cuma untuk para pekerja sahaja. Jadi aku tinggalkan dia di rumah sepupu aku di Batu 5, Gombak. Kesian nak biarkan dia keseorangan di rumah. Sepupu aku ini saudagar kain. Orang perempuan nampak kain ini macam orang lelaki dapat 'gadjet'. Dia jadi rambang mata. Lagipun, orang perempuan ini bila bersama adalah sahaja perancangan yang hendak mereka buat. Tak payah disuruh!

Kali terakhir syarikat aku mengadakan majlis makan tahunannya adalah pada 2008. Jadi majlis ini merupakan suatu yang amat dinanti-nantikan oleh semua orang. 2 benda yang aku paling suka pada acara tahunan ini adalah makanannya dan hadiah cabutan bertuahnya.
Akan tetapi, adakalanya makanan yang dihidangkan mengecewakan akan tetapi hadiah cabutan bertuah tidak pernah menghampakan. Ia sentiasa disesuaikan mengikut peredaran zaman. Cuma perkara yang mengecewakan tentang cabutan bertuah ini adalah bila masa nombor kita tak naik-naik. Asyik nombor orang aje yang dipanggil.

Hadiah cabuatan bertuah 3 yang paling utama untuk tahun ini adalah merupakan hadiah wang tunai bermula dari RM3,000, RM5,000 dan yang utama RM10,000. Siapa yang tak terujakan. Semua yang hadir mengimpikannya. Syarikat kami baru sahaja memberi bonus kepada perkerjanya. Kalau dapat cabutan bertuah itu, maknanya ibarat menerima 2 kali bonus.
Namun begitu, manusia hanya boleh berangan, tapi Allah yang menentukan. Seperti sebelum-sebelum ini, nasib aku tak berapa baik. Tapi tidak mengapa. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak aku ketahui.

Malam itu tema yang digunakan 'Kembali ke zaman 70-an'. Jadi ramailah yang mempergayakan pakaian yang kena pada tema yang digunakan. Lagipun ada ganjaran sebanyak RM300 - RM700 kepada pemenang pakaian terbaik. Bagi aku, aku pakai baju apa yang ada. Takda makna aku nak mengejar hadiah pakaian terbaik tersebut memandangkan aku ini pemalu orangnya...chee wah!!!
Cuma menjadi kehairanan dan kepelikan pada aku ialah dari segi adab penambilan dan pemakaian. Bagaimana pegangan agama seseorang boleh berubah hanya dengan penganjuran majlis sebegini. Apa yang aku maksudkan adalah perihal halal dan haram suatu perkara ? Bila tiba majlis sebegini, ibarat suatu lesen pulak untuk sesetengah individu melanggar syarat didalam segi aurat dan juga tatacara pemakaiaan. Itu belum diambil kira mengenai tuntutan solat. Adakah perlepasan diberikan oleh Allah untuk meninggalkan suruhanNya kerana menghadiri aktiviti sebegini ?

Dari penampilan penuh sopan dan menjaga tatatertib aurat seperti bertudung semasa bekerja di pejabat, bila tiba majlis sebegini tudung entah hilang kemana dan kain pun menjadi semakin kurang. Itu belum kira individu yang memaparkan kemontokan tubuh badan yang mengiurkan disamping bertudung. Betulkan begitu caranya agama menuntut seseorang itu menjaga aurat ? Yang lelaki pun tidak kurang hebatnya dengan pemakaian rantai dileher dan gelang ditangan . Yang spesis sotong pula menunjukkan keingkarannya dengan cara yg lebih berani iaitu dengan melakukan teransformasi penampilan sepenuhnya kepada wanita.

Kita nak tegur pun pun rasa serba salah. Padahal perkara ini merupakan perkara asas didalam agama. Tapi bila kita buka mulut nanti ada yang kecil hati dan mengatakan kita nak jadi ustaz pulak.

Akan tetapi sebenarnya kita perlu menegur rakan-rakan kita yang terlupa. Sama ada dia hendak terima atau tidak, itu sebenarnya Allah yang menentukannya. Tapi ialah, kadang-kadang iman kita pun tidak lah sehebat mana. Jadi selemah-lemah iman yang boleh kita lakukan ialah dengan mengzahirkan rasa benci pada hati akan pelanggaran-pelanggaran syarak yang dilakukkan oleh orang lain.


Ramai orang mengaku bahawa Allah itu tuhan yang Esa yang berkuasa, yang berkuasa mencipta dan menentukan segalanya. Akan tetapi apa yang kurang didalam segilitir kita ialah kadang-kadang tidak mempunyai keikhlasan didalam perlaksanaan ibadah kepadaNya.

Wednesday, March 23, 2011

Azlin belanja -part 1

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Pagi-pagi lagi adik bongsu aku dah SMS, suruh balik awal dari tempat kerja sebab dia nak belanja semua ahli keluarga di Restoran Kayu Manis di Bukit Jelutong. Dia baru dapat bonus dan sambil-sambil itu dia nak sambut hari ulang tahun perkahwinan ibubapa yang ke 39 tahun dan hari lahir anak buah dan sepupu kami.


Aku agak biasa dengan keadaan di Bukit Jelutong kerana aku pernah duduk di kawasan TTDI, Shah Alam yang jaraknya cuma dalam 4km dari Bukit Jelutong. Tempat driving range golf itu pun aku biasa pergi semasa zaman nak belajar-belajar merasa pegang kayu golf.
Tapi sukan golf ni pada aku tak berapa serasi. Orang putih kata 'no chemistry' . Namun sekarang, Bukit Jelutong sudah berkembang pesat. Restoran Kayu Manis terletak diutara Bukit Jelutong.

Cara hendak kesana ialah masuknya melalui jalan sebelum tol Gutrie dan belok ke kiri pada persimpangan lampu isyarat. Terus dan bila jumpa bulatan ambil pukul 3. Lepas Petronas belok ke kiri dan masuk ke kiri di persimpangan pertama ke kawasan kedai. Terus hingga ke persimpangan 'T' dan belok kanan dan terus hingga ke hujung. Restoran itu terletak dihujung deretan rumah kedai.

Ini pertama kali aku restoran tersebut akan tetapi masakannya memang 'marvelous'. Dengan kata lain, boleh lah kalau nak 'repeat' lagi. Bila makanan sudah dihidangkan, sedang aku nak ambil gambar, sekali baru sedar bateri kamera sudah 'zero'. Nasib baik ada 'power plug' . Bolehlah nak recharge sekejap. Dibawah aku ada letak gambar-gambar semasa disana, cuma makanan tu tak dapatlah nak dimasukkan kerana baunya yang harum dan peruk hadirin yang sudah keroncong.



Tengok pinggan kosong ajelah.





Sunday, February 13, 2011

Mini panggung

Masa cuti-cuti bergini, tv aku tiba -tiba tv buat hal. Gambarnya tak keluar. Cuma suara sahaja yang keluar.

Nasib baik ada projektor. Dapat lar buat mini panggung sebagai pengganti.



Saturday, February 5, 2011

Pusat Sains Negara

Khamis, 23 Disember 2010



Ini cerita semasa cuti sekolah yang lalu. Kebiasaannya aku akan mengambil anak-anak dari Kelantan untuk menghabiskan masa yang singkat bersama mereka.

Perancangan asal, mulanya aku hendak melawat Plenetarium Negara kerana Imran (anak sulung), bercita-cita nak jadi angkasawan. Namun bila anak-anak menonton cerita tentang robot Rafi di Astro dimana adegan ia pergi ke Pusat Sains Negra untuk menghubungi dengan orang ditempat asalnya, (betapa kuatnya pengaruh tv) anak-anak pun berasa seronok sangat untuk ke sana.

Kebetulan pula, disana terdapat pameran dinasour, pengalaman aku yang terakhir dulu, semasa aku melawat pameran dinasour di Petrosains KLCC, anak aku yang bongsu, menjerit-jerit dan ketakutan apabila melihat binatang-binatang dinasour disana. Terutama sekali di bahagian dinasour T-rex yang betul-betul terletak dihadapan pintu masuk yang dilitupi dengan tirai plastik.


Masa itu, Iman berusia 4 tahun. Sekarang dia sudah berusia 5 tahun, jadi ia pasti menarik melihat bagaimana gelagat yang akan ditunjukkan sekarang. Perkara yang terbaik bagi anak-anak ini ialah gelagat mereka yang sering memberi suatu perasaan kejutan atau kekaguman terhadap gelagat yang ditunjukkan yang tidak terlintas dipemikiran kita.

'Trip' ke Pusat Sains Negara, secara umumnya amat menarik sehinggalah kamera aku mula 'jammed' selepas itu. Cuma yang agak menghampakan ialah kebanyakan alatan di Pusat Sains Negara itu telah rosak. Jika tidak kerana pameran dinasour. Pasti lawatan itu suatu yang menghampakan. Mungkin antara suatu faktornya adalah disebabkan kekurangan dana akibat bayaran kemasukan adalah percuma.

Memandangkan, aspirasi negara kini ingin menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, sememangnya penyemaian minat anak-anak terhadap sains perlu diutamakan. Aku pernah melawat pameran sains di Singapura dimana bahan pamerannya yang dipamerkan lebih berteknologi tinggi hingga jangan kata kanak-kanak, kita yang dewasa ini pun tidak merasa bosan untuk menggunjunginya.

Ada 0rang boleh kata " Oh' Singapura itu lain, sebab mereka lebih maju daripada kita dan dana mereka besar ". Akan tetapi, apa kurangnya kita. Malaysia memiliki sumber yang lebih banyak daripada mereka. Cuma isunya sekarang, ialah bagaimana kita hendak menguruskan sumber-sumber yang ada ke arah yang lebih baik.




Walaupun rasa takut, tetapi Iman cuba memberanikan diri bergambar dihadapan dinasour. Abang dia pula, Imran akan cuba mengusik adiknya itu sekali-sekala.


Sekali, dinasor itu mengaum, kecut perut jugak mereka.



Isteriku bersama anak sulung, Imran berpose
di depan Dinasour. Masa itu Iman sudah kecut
perut hendak ambil gambar lagi disitu.


Anakku Imran, baru berusia 8 tahun , ketinggian dah nak sama dengan mamanya.

Wednesday, February 2, 2011

Majlis pertunangan Kamarul

Hari ini aku cuti. Esok 3 Feb 2011, masyarakat cina akan mula menyambut Tahun baru cina . Jadi disini aku ingin mengambil kesempatan kepada rakan-rakan blog aku ini, selamat bercuti dan kepada rakan-rakan berbangsa Cina pula, Gong Xi Fa Chai.

Bila sudah cuti panjang ini, ada yang ambil kesempatan balik ke kampung. Bagi aku dan isteri , perancangan kami asalnya hendak ke Yan, Kedah bagi mengiringi sepupu isteri iaitu Kamarul bagi rombongan bertunangnya.

Namun malangnya, 'budget' aku bulan ini dah 'burst'. Pergi 'service' kereta kena dalam RM550.
Itu kos bagi menukar timing belt (RM450), Minyak hitam (RM50) dan air-cond belt (RM50). Itu pun aku tak tukar plug, buat balancing & alinement tayar.

Kepada Kamarul.

"sorry la bro. Aku tahu kau sudah booking chalet untuk aku & isteri kat Yan" Nanti bila tiba waktu kau bernikah aku 'make-up' balik. Tahniah diatas majlis pertunanganmu."

Kamarul ini sepupu isteri aku tetapi dia orang Malaysia bukan orang Singapura. Kampung dia dekat dengan sekolah Henry Gurney di Melaka. Dia duda anak tiga macam status aku dulu cuma anak aku 2 orang. Nasib aku dengan Kamarul ada sedikit persamaan sikit iaitu sama-sama kena tinggal bini. Tetapi cerita dia lebih sadis daripada nasib aku.

Tapi tidak perlulah aku ceritakan disini kerana aku tak hendak membuka aib mana-mana pihak. Tiada siapa yang mempunyai pemikiran waras inginkan penceraian terutama sekali apabila sudah mempunyai anak.

Akan tetapi, bila tuhan sudah takdirkan nasib kita begini, kita kena terima, sabar dan berlapang dada akan segala masalah yang mendatang. Pada aku, setiap kejadian itu ada hikmahnya.

Untuk Kamarul, aku harap dia dapat berterusan bersabar dan bersemangat tinggi seperti yang telah ditunjukkan selama ini. Setiap perkara baik atau buruk pasti akan diuji Allah.


Dalam Surah Al-Anbiya :35 dan surah al-Ankabut :2-3 secara jelas menyatakan :-



Surah Al-Anbiyaa’(21: 35)

A035

Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

[Surah Al-Anbiyaa’(21: 35)]




Surah Al-Ankabut(29: 2-3)

A002

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?


A003

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

[Surah Al-Ankabut(29: 2-3)]



Dalam Kamarul hendak melangsungkan pertunangan ini, masih ada masalah yang membelenggung hubungan beliau.

Masalahnya, ibubapa perempuan kurang berkenan dengan status Kamarul dan pendapat itu turut dikongsi bersama adik beradik yang lain.

Yang peliknya, adik beradik ini bukan mengambil berat sangat akan adik perempuan mereka yang bongsu itu. Adik beradik yang lain, walaupun duduk berdekatan dengan adik bongsunya itu, tidak pula mereka terfikir hendak mengajak adik bongsu mereka ini untuk tinggal bersama. Tinggal lah adik mereka dirumah sewa bujang sambil berulang alik ke tempat kerja menaiki kenderaan awam. Bertanya khabar pun tidak, hendak memperlawa untuk balik ke kampung di musim perayaan pun tidak. Tidak ada perasaan risau tentang soal keselamatan adiknya yang bongsu itu kah?


Duduklah adik bongsu beliau itu berdikari bersendirian tanpa dibantu darah daging sendiri. Usia beliau pun sudah menjangkau 30-an. Maka apabila Allah telah membuka ruang untuk adik mereka kecapi ini, tidak pula mereka hendak menumpang kebahagiaan itu bersama hanya berdasarkan status seseorang yang tidak memberi manfaat apa-apa.

Jadi amat menjadi suatu kepelikan bagi aku kerana manusia masih menjadikan status suatu kayu ukur kearah menentukan kebahagiaan suatu pasangan.

Kenapa kita lupa akan kuasa yang paling Agung iaitu Allah, Penetap dan Penentu kepada setiap kejadian yang terjadi didalam dunia ini.

Aku amat mempercayai akan hakikat ini bukan kerana agama mengajarkan aku sebegitu, akan tetapi keberkatan itu telah aku rasai apabila aku mengahwini isteriku kini. ( Ayang jangan berasa kembang diri eh!)

Bagi aku, apa yang penting dalam suatu perkahwinan itu ialah hasilnya dapat mendekatkan diri kita kepada Allah kerana tanpa Allah, tiada maknanya suatu kebahagiaan itu. Jika kita lupa Allah, takut nanti Allah akan lupakan kita.

Aku dan isteri amat terkilan sekali kerana tidak dapat menyokong Kamarul dengan bersama-sama menyertai rombongan pertunangan beliau ke sana.

Aku dan isteri berdoa agar pertunangan Kamarul nanti akan berjalan dengan lancar dan seterusnya hubungan mereka disatukan dimajlis pernikahan. Amin !



Rujukan surah didalam web tersebut :

Thursday, August 12, 2010

Azam Baru


Sesuatu bila sudah lama kita tinggalkan, bila hendak mulakan kembali, pasti amat berat untuk dilakukan.

Sudah hampir setahun aku tidak menulis didalam blog ini. Si Izman pun sudah asyik membebel-bebel pada aku sebab tiada 'post' baru disini sampai ugut-ugut aku nak keluarkan nama blog list dari senarai blog dia. Cit!... orang tua kalau merajuk memang buruk...hahaha (jangan marah bang)

Apa-apa pun aku punya alasan tersendiri kerana menyepi didalam dunia internet untuk hampir setahun ini. Selain daripada alasan kesibukan, alasannya ialah kerana hendak menjaga hati isteri tercinta.

Usia perkahwinan aku masih berusia 2 tahun maka proses membina keserasian dan persefahaman itu membuatkan kita perlu berfikir dan berhati-hati didalam membuat sesuatu. Walaupun kegagalan dahulu dijadikan pedoman, namun begitu kadang-kadang tabiat ini suatu perkara yang sukar untuk dilenturkan tanpa kehadiran semangat yang dinamakan keazaman.

Hari ini, merupakan hari kedua umat islam di Malaysia berpuasa. Sempena bulan yang mulia ini aku berazam untuk lebih kerap untuk berkarya di dalam laman ini sama ada secara penulisan atau visual.

Azam tahun baru biasanya dimulakan pada awal tahun baru atau bagi kelender islam pada 1 muharam. Namun bagi aku, keazaman suatu benda yang boleh dilakukkan pada bila-bila masa sahaja terutama sekali jika keazaman itu suatu yang membawa kebaikan. Lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia lagi barakah ini, aku amat mengharapkan keazaman ini berkekalan dengan lamanya.




p/s : Yang paling utama, Izman tidak boleh nak bising aku tak 'update' blog aku ini lagi.

P/s : Terima kasih pada abang Razif untuk gambar diatas. http://raziffphotomateur.blogspot.com/

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...