Wednesday, March 30, 2011

Alahai bapakku....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Dalam pukul 5.30 pagi, aku dikejutkan dari tidur oleh deruman enjin kereta Kelisa adik aku. Dengan mamainya aku menjenguk ke luar tingkap sambil bertanyakan persoalan apa lah abang aku, Rizal kerja kuat sangat kat Mydin ini hingga awal-awal pagi dah keluar pergi kerja. Hujan pulak turun dengan agak lebat masa itu.

Pukul 6.20 pagi, dapat sms daripada adik aku, memberitahu bahawa nenek Kelantan baru meninggal dunia pukul 1.30 pagi tadi dan bapak aku sudah bertolak ke Kelantan pada 5.30 pagi untuk melawat beliau. Adik aku bertanyakan kalau-kalau ada sesiapa yang nak buat sumbangan padanya.

Ya Allah, rupanya bapak aku yang keluar tadi. Dia ke memandu ke Kelantan sorang-sorang. Mulanya aku ingatkan mak aku ikut sama, tapi bila aku talifon, rupanya dia tak ikut. Dia kata dia kena jaga anak-anak adik aku, Azlin sebab adik aku kena pergi ke Singapura Khamis ini, jadi anak-anaknya tiada siapa yang jaga.

Sepanjang hari dada rasa berdebar-debar dek sebab risaukan hal bapak aku ini. Bapak aku ini dah berusia 66 tahun. Ada darah tinggi dan kencing manis. Lutut pulak bengkak aritu kerana jatuh akibat tergelincir. Takut-takut dia bawak kereta sorang-sorang itu nanti jadi apa-apa yang tidak diingini.

Isteri aku dah mula membebel-bebel kat aku bikin aku naik angin. Tanya aku " kenapa biarkan bapak aku pergi memandu sorang-sorang". "Apasal tak 'booked' kan dia 'flight'? "Apasal tak rancang dulu benda-benda gini ?"

Korang kalau dengar begini tak berangin ke? Benda dah jadi aku nak buat apa. Bukan aku boleh 'control' benda-benda begini. Kawan-kawan opis, Awang & Aidil dah mula gelak-gelak pada aku. Nampak sangat dok dengar perbualan aku dengan isteri masa aku tengah bergayut di talifon. Diorang ini bukannya apa, cuma setiap insan itu cuma ada seorang bapa aje.

Diorang berdua ini , bapa mereka sudah lama meninggal dunia... Awang bercerita, masa muda-muda dulu Bapak dia selalu nasihat mintak rajin-rajin balik ke kampung di Kedah menjenguk dia. Tapi dia tak dengar... bila sekarang dia tak ada, bila dikenangkan balik, rasa terkilan pulak.

Mereka pun mulalah 'meracun' aku suruh ambil cuti pergi balik ke Kelantan ambil Bapak aku kat sana takut-takut nanti menyesal pulak nanti.

Bapak aku ini pun satu, dok fikir diri dia kuat macam muda-muda dulu. Tanya mak aku, apasal terburu-buru sangat pergi ? Mak kata dia sudah talifon adik beradik dia yang lain, tapi semua ada hal. Jadi beliau merasakan, beliau perlu wakilkan mereka semua untuk menziarah nenek Kelantan.

Nenek Kelantan merupakan isteri kedua datuk aku. Jadi beliau merupakan mak tiri pada Bapak aku tetapi walaupun begitu, bapak aku amat menghormati beliau. Perkara yang aku amat berbangga dengan bapak aku ini ialah dia amat mengutamakan soal keakraban hubungan kekeluargaan. Bukan hanya meliputi hubungan kekeluargaan di sebelah bapak aku sahaja tetapi juga keakraban hubungan kekeluargaan sebelah mak aku juga.

Dalam pukul 2.30 petang aku talifon dia, dia kata belum sampai lagi. Baru lepas Ketereh. Itu dah hampir 10 jam. Dalam pukul 3.00 petang dia talifon dan beritahu dia dah selamat sampai. Alhamdulillah.

Jadi untuk elakkan bapak aku ini memandu sorang-sorang bila balik nanti, aku dan isteri buat keputusan untuk ke sana menggunakan kapal terbang. Jimat masa walaupun harganya mahal sedikit. Isteri ke kaunter Air Asia di Berjaya Times Square dan berjaya membeli tiket kapal terbang ke Kota Bharu pukul 7.15 pagi esok dengan harga RM306. Terpaksa 'apply' cuti kecemasan satu hari dengan bos aku.

Teringat kata Awang " Bapak kita cuma satu, biar susah sekarang untuk mereka. Esok mereka takda nanti kang menyesal".

Harap-harap, kalau ada masa dapat jugak aku menjenguk anak-anak aku disana.

Tuesday, March 29, 2011

Perjalanan untuk kurus bermula....

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Hari ini lepas pejabat aku ke gym sekejap. Lama dah tak 'workout'. Berat badan pun dah semakin meningkat. Nak timbang pun takut . Kali terakhir aku timbang, berat badan dan mencecah 98kg berbalik pada berat asal aku semula sebelum aku menyertai program 'Lose & Gain' anjuran pejabat ditempat aku bekerja iaitu 99kg.

'Lose & Gain' ini program dia lebih kurang macam program 'The biggest Loser' cuma namanya ditukar untuk mengelakkan masalah hak cipta. Program dibuat dengan kerjasama True Fitness. Hadiah sebanyak RM3,000 ditawarkan untuk pemenang. Aku tak menang pun tapi sekurang-kurangnya aku dapatlah turunkan berat badan sebanyak 10kg.

Masa itu merasa juga lah menggunakan segala kemudahan True Fitness daripada kelas arobiknya, yoga nya dll lagi. Sekarang bila tak ada kemudahan itu lagi, bergantung dengan gym di pejabat sahaja lar.

Kita bila dah banyak hilang berat badan ini, perkara yang susah selepas itu ialah mengekalkannya. Kalau kita berhenti, badan akan naik balik dan kali ini lebih cepat. Contohnya boleh dilihat pada seorang yang menjadi juara didalam pertandingan 'The Biggest Loser' aritu. Bila rancangan itu membuat 'follow-up' pada para peserta yang memasuki pertandingan itu ada yang berjaya mengekalkan cara hidup yang sihat tetapi ada juga yang kembali kepada keadaan asal sebelum memasuki pertanding.

Mengapa ? Jawapannya ialah disiplin diri dan keinginan yang mendalam didalam diri.

Jadi, disini bermula kembali. Impian aku untuk kurus semula...ahaks! Hari ini aku buat 'exercise' menggunakan stationary bikes selama 20 min dan treadmills selama 20 min. Aku berazam akan pergi ke gym sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu. Esok tak dapat nak 'workout' sebab aku ada kelas mandarin dan kelas mengaji pulak....

Cuma cabaran aku yang paling besar yang boleh menghalang aku dari mencapai impian aku itu adalah menahan diri untuk makan masakkan isteri yang sedap-sedap. Lagi kuat aku nak berdiet, lagi sedap lak dia masak... cobaan... cobaan..

Monday, March 28, 2011

Hari memperbaharui visa jangka panjang

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani.

Hari ini aku cuti sebab hendak ke imigresen Shah Alam untuk menguruskan permohonan visa menetap untuk jangka panjang bagi isteri. Isteri saya berasal dari Singapura. Tahun ini sudah tahun ke-3 beliau menetap disini. Visa kemasukan untuk warga Singapura cuma untuk sebulan sahaja. Selepas itu, kena balik ke Singapura dan masuk balik ke Malaysia untuk mendapatkan penyambungan. Jadi, kalau tak nak pergi chop di sempadan nak hendak dapatkan tempoh yang lebih lama, maka kena mohon visa jangka panjang ini lah. Visa ini bukan semua orang boleh mohon, cuma untuk mereka yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau untuk program 'Malaysia My Second home' (MM2H) .

Diawal perkahwinan aku, aku menetap di Gombak Setia. Masa itu Gombak dengan Singapura rasa macam sebelah rumah aje. Sebulan sekali aku akan ke Singapura. Jarak perjalanan cuma memakan masa lebih kurang 3 jam jika memandu. Jadi setakat pergi balik hari yang sama itu memang aku biasa buat. Ada dalam 6 bulan jugak lah aku buat kerja gini. Sekali turun sekurang-kurangnya Rm200 terbang!

Kadang-kadang masalah jugak masa itu terutama sekali masa zaman menularnya virus H1N1. Masa itu ada keluar polisi di pejabat yang mengatakan siapa yang pergi Oversea tidak dibenarkan masuk ke pejabat selama 1 minggu sebagai langkah untuk mengelak penyebaran virus tersebut. Ikutkan ia bukan suatu masalah pun, lagi baik untuk aku sebenarnya sebab dapat cuti free akan tapi sebagai pekerja yang berdidikasi (nak termuntah aku bagi statement ini) kita tak nak ambil kesempatan.

Masa mula-mula dulu bukan aku tak nak mohon visa menetap jangka pangjang. Cuma masalahnya nak memohon visa ini kena ada surat pengesahan nikah dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Jadi disitulah masalahnya. Orang yang berkerja ditempat aku buat permohonan itu lembab. Aku tahu bukan semua orang JAIS begitu tapi dalam kes aku, aku memang tak bernasib baik terkena orang yang lembab dan tak ikhlas bekerja. Memandangkan aku duduk diGombak, jadi aku berurusan dengan JAIS bahagian Gombak Timur yang pejabat terletak dekat Taman Keramat.

Proses pertama yang dilakukan oleh JAIS dalam memproses permohonan aku ialah mendapatkan pengesahan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tentang ketulenan sijil nikah yang dikeluarkan MUIS. Masalahnya, JAIS kena isukan 2 kali surat rasmi kepada MUIS untuk mendapatkan jawapan tersebut. Bila surat pertama keluar, aku tunggu 3 bulan untuk dapatkan jawapan dari pihak MUIS tapi tak ada. Malas nak tunggu aku mintak JAIS surat kedua untuk aku hantar 'by hand' ke MUIS.

Bila aku jumpa pihak MUIS mereka kata mereka baru terima surat yang pertama 2-3 hari lepas dan mereka tunjukkan pada aku surat yang diterima. Hampeh! rupanya JAIS punye kerja... Dalam 3 bulan itu diorang tak buat apa-apa pun. Kalau aku tak 'follow-up' 10 tahun pun tak akan siap. Makan gaji buta betul.

MUIS kata mereka pelik dengan JAIS kerana mintak pengesahan tulin sebegitu kerana sijil nikah yang dikeluarkan MUIS bukan sebarangan. Ibarat seperti kad pengenalan. Ia punyai sekuriti keselamatan yang tinggi. Mereka pernah beritahu pada Jabatan agama diMalaysia tentang hal tersebut tetapi jabatan agama diMalaysia macam tak ambil peduli aje. Jadi bagi MUIS mereka layankan sahaja walaupun mereka merasakan ia tidak perlu. Perihal ini sepatutnya telah diketahui oleh JAIS kerana tak kan lah pertama kali mereka menerima permohonan sebegitu. Memanglah setiap jabatan itu punyai sistem proses yang tersendiri. Tapi cuba lak rangka proses itu bagi membantu rakyat... bukan asyik nak menyusahkan aje. Apa ingat kita ini mintak sedekah ke ?

Itupun, aku kena tunggu dalam sebulan untuk surat jawapan dari MUIS diterima JAIS. Selepas dapat surat pengesahan, aku kena jalani temuduga pulak dengan pembantu kadi. Diorang nak tengok tentang acara majlis nikah dijalankan, siapa wali, siapa saksi. Kalau begitu nak buat apa mintak pengesahan sijil nikah Singapura. Kan ke bodoh proses itu.

Apa nak buat... aku layankan aje lar...Nasib baik masa kahwin di Singapura aku ada ambil video. Akhir sekali, untuk penutup aku kena lafas teks taklik untuk kali kedua.

Seterusnya bila sijil nikah dikeluarkan seminggu kemudian, maklumat yang dimasukkan pulak salah. Pelik aku...rekod semua depan mata. Kerja pun boleh khayal. Ini lah masalah bila orang kerja tak ikhlas.


Nasib baik bila berurusan dengan pihak imigresen tak ada masalah sangat. Pihak imigresen sekarang sudah semakin cekap dan efisyen. Namun begitu masih lagi ada ruang yang boleh diperbaiki . Sebagai contoh, ialah dokumentasi yang diminta asyik berulang-ulang aje. Rasanya untuk dokumen seperti salinan surat nikah dan salinan kad pengenalan tak payah lah nak diminta lagi sebab semasa permohonan pertama kita sudah berikan. Rasanya didalam rekod aku pasti sudah melambak dokumentasi tersebut. Mungkin ini sesuatu yang patut aku ketengahkan kepada pihak PEMUDAH untuk perhatian.

Jadi hari ini merupakan permohonan isteri aku yang kali ke-5 untuk visa menetap dalam jangka panjang. Kali ini dia dah boleh mohon untuk jangkamasa 5 tahun. Mula-mula dulu, dia cuma dapat 6 bulan dan kemudian diberi setahun. Tapi sekarang dah 5 tahun lah. Tadi, isteri cuma minta untuk 4 tahun sebab bagi tahun ke 5 dia dah boleh buat permohonan untuk dapatkan PR pulak nanti.

Setahun, bayaran dikenakan untuk visa sebanyak RM90. Jadi 4 tahun maka semuanya dalam RM360. Bayaran yang dikenakan itu tak semuanya sama. Ia berbeza-beza mengikut negara- negara tertentu. Bermula berurusan pada pukul 9.30 pagi, segala urusan selesai tepat pukul 2.00 petang. Cepat kan!..

Saturday, March 26, 2011

Annual Dinner 2010 punyer...

Semalam aku ke Pusat Konvensyen KLCC kerana syarikat aku menganjurkan majlis makan malam tahunannya. Sepatutnya majlis ini sudah berlangsung sejak tahun lepas. Tapi masalah timbul bilamana tempat yang menjadi pilihan sewaktu itu iaitu di Hotel Sunway mempunyai isu dari segi status halal makanan yang dihidangkan. Kesannya ia terpaksa ditunda ke hari tersebut.

Isteri aku nak ikut, tetapi malangnya ia cuma untuk para pekerja sahaja. Jadi aku tinggalkan dia di rumah sepupu aku di Batu 5, Gombak. Kesian nak biarkan dia keseorangan di rumah. Sepupu aku ini saudagar kain. Orang perempuan nampak kain ini macam orang lelaki dapat 'gadjet'. Dia jadi rambang mata. Lagipun, orang perempuan ini bila bersama adalah sahaja perancangan yang hendak mereka buat. Tak payah disuruh!

Kali terakhir syarikat aku mengadakan majlis makan tahunannya adalah pada 2008. Jadi majlis ini merupakan suatu yang amat dinanti-nantikan oleh semua orang. 2 benda yang aku paling suka pada acara tahunan ini adalah makanannya dan hadiah cabutan bertuahnya.
Akan tetapi, adakalanya makanan yang dihidangkan mengecewakan akan tetapi hadiah cabutan bertuah tidak pernah menghampakan. Ia sentiasa disesuaikan mengikut peredaran zaman. Cuma perkara yang mengecewakan tentang cabutan bertuah ini adalah bila masa nombor kita tak naik-naik. Asyik nombor orang aje yang dipanggil.

Hadiah cabuatan bertuah 3 yang paling utama untuk tahun ini adalah merupakan hadiah wang tunai bermula dari RM3,000, RM5,000 dan yang utama RM10,000. Siapa yang tak terujakan. Semua yang hadir mengimpikannya. Syarikat kami baru sahaja memberi bonus kepada perkerjanya. Kalau dapat cabutan bertuah itu, maknanya ibarat menerima 2 kali bonus.
Namun begitu, manusia hanya boleh berangan, tapi Allah yang menentukan. Seperti sebelum-sebelum ini, nasib aku tak berapa baik. Tapi tidak mengapa. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak aku ketahui.

Malam itu tema yang digunakan 'Kembali ke zaman 70-an'. Jadi ramailah yang mempergayakan pakaian yang kena pada tema yang digunakan. Lagipun ada ganjaran sebanyak RM300 - RM700 kepada pemenang pakaian terbaik. Bagi aku, aku pakai baju apa yang ada. Takda makna aku nak mengejar hadiah pakaian terbaik tersebut memandangkan aku ini pemalu orangnya...chee wah!!!
Cuma menjadi kehairanan dan kepelikan pada aku ialah dari segi adab penambilan dan pemakaian. Bagaimana pegangan agama seseorang boleh berubah hanya dengan penganjuran majlis sebegini. Apa yang aku maksudkan adalah perihal halal dan haram suatu perkara ? Bila tiba majlis sebegini, ibarat suatu lesen pulak untuk sesetengah individu melanggar syarat didalam segi aurat dan juga tatacara pemakaiaan. Itu belum diambil kira mengenai tuntutan solat. Adakah perlepasan diberikan oleh Allah untuk meninggalkan suruhanNya kerana menghadiri aktiviti sebegini ?

Dari penampilan penuh sopan dan menjaga tatatertib aurat seperti bertudung semasa bekerja di pejabat, bila tiba majlis sebegini tudung entah hilang kemana dan kain pun menjadi semakin kurang. Itu belum kira individu yang memaparkan kemontokan tubuh badan yang mengiurkan disamping bertudung. Betulkan begitu caranya agama menuntut seseorang itu menjaga aurat ? Yang lelaki pun tidak kurang hebatnya dengan pemakaian rantai dileher dan gelang ditangan . Yang spesis sotong pula menunjukkan keingkarannya dengan cara yg lebih berani iaitu dengan melakukan teransformasi penampilan sepenuhnya kepada wanita.

Kita nak tegur pun pun rasa serba salah. Padahal perkara ini merupakan perkara asas didalam agama. Tapi bila kita buka mulut nanti ada yang kecil hati dan mengatakan kita nak jadi ustaz pulak.

Akan tetapi sebenarnya kita perlu menegur rakan-rakan kita yang terlupa. Sama ada dia hendak terima atau tidak, itu sebenarnya Allah yang menentukannya. Tapi ialah, kadang-kadang iman kita pun tidak lah sehebat mana. Jadi selemah-lemah iman yang boleh kita lakukan ialah dengan mengzahirkan rasa benci pada hati akan pelanggaran-pelanggaran syarak yang dilakukkan oleh orang lain.


Ramai orang mengaku bahawa Allah itu tuhan yang Esa yang berkuasa, yang berkuasa mencipta dan menentukan segalanya. Akan tetapi apa yang kurang didalam segilitir kita ialah kadang-kadang tidak mempunyai keikhlasan didalam perlaksanaan ibadah kepadaNya.

Friday, March 25, 2011

Gelagat anak-anak yang menghiburkan...

Gelagat yang ditunjukkan anak-anak kecil sememangnya suatu yang menghiburkan. Melihat gelagat mereka sudah cukup untuk membuatkan kita lupa akan segala perkara yang merungsingkan dan membimbangkan. Dzakirah, merupakan anak bongsu kepada adik saya. Dia baru nak belajar untuk berjalan. Akan tetapi, sebelum dia dapat berjalan, dia kena belajar untuk berdiri diatas kedua kakinya sendiri.

Dzakirah mulakan cabaran beliau dengan mengambil posisi seperti hendak memulakan larian 100m.

Tumpuan sepenuhnya diperlukan dan muka kena serious untuk menunjukkan keazaman yang tinggi bagi menuntut kejayaan.


Saat melakar sejarah bermula....


Sudah menghampiri 3/4 dari matlamat. Perlu menunjukkan anjakan keazaman.


Menghampiri matlamat. Kegembiraan mula melakar di muka.

Akhirnya... aku sudah berjaya...


Lihatlah dunia... aku kini berdiri di kedua kakiku sendiri.

Namun, kegembiraan cumaa datang seketika... Ada tika dalam perjalanan kehidupan, kita akan terjatuh...

Walaubagaimanapun, jangan berputus asa. Ayuh bangkit kembali dan jangan malu menerima bantuan daripada insan-insan yang mengasihani diri.

Thursday, March 24, 2011

Azlin belanja - part 2

Selepas balik makan di Restoran Kayu Manis, kami sambung sambutan hari ulang tahun ibu bapa dan hari jadi anak buah dan sepupu di rumah.



Kek ini untuk mak dan bapak aku. Tapi bila lilin sudah dihidupkan, mak aku, malu pulak nak bergambar. Jadi tinggal lah bapak aku sorang-sorang.


Kek kedua adalah untuk sepupu aku.


Tengok Lyana itu, tertongeng-tonggeng dapat kek.



Wednesday, March 23, 2011

Azlin belanja -part 1

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Pagi-pagi lagi adik bongsu aku dah SMS, suruh balik awal dari tempat kerja sebab dia nak belanja semua ahli keluarga di Restoran Kayu Manis di Bukit Jelutong. Dia baru dapat bonus dan sambil-sambil itu dia nak sambut hari ulang tahun perkahwinan ibubapa yang ke 39 tahun dan hari lahir anak buah dan sepupu kami.


Aku agak biasa dengan keadaan di Bukit Jelutong kerana aku pernah duduk di kawasan TTDI, Shah Alam yang jaraknya cuma dalam 4km dari Bukit Jelutong. Tempat driving range golf itu pun aku biasa pergi semasa zaman nak belajar-belajar merasa pegang kayu golf.
Tapi sukan golf ni pada aku tak berapa serasi. Orang putih kata 'no chemistry' . Namun sekarang, Bukit Jelutong sudah berkembang pesat. Restoran Kayu Manis terletak diutara Bukit Jelutong.

Cara hendak kesana ialah masuknya melalui jalan sebelum tol Gutrie dan belok ke kiri pada persimpangan lampu isyarat. Terus dan bila jumpa bulatan ambil pukul 3. Lepas Petronas belok ke kiri dan masuk ke kiri di persimpangan pertama ke kawasan kedai. Terus hingga ke persimpangan 'T' dan belok kanan dan terus hingga ke hujung. Restoran itu terletak dihujung deretan rumah kedai.

Ini pertama kali aku restoran tersebut akan tetapi masakannya memang 'marvelous'. Dengan kata lain, boleh lah kalau nak 'repeat' lagi. Bila makanan sudah dihidangkan, sedang aku nak ambil gambar, sekali baru sedar bateri kamera sudah 'zero'. Nasib baik ada 'power plug' . Bolehlah nak recharge sekejap. Dibawah aku ada letak gambar-gambar semasa disana, cuma makanan tu tak dapatlah nak dimasukkan kerana baunya yang harum dan peruk hadirin yang sudah keroncong.



Tengok pinggan kosong ajelah.





Tuesday, March 22, 2011

Isu perihal penahanan 35,000 Al-Kitab Kristian di Perlabuhan Kelang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


Hari ini ceramah di Masjid, oleh Ustaz Ahamad Awang mengajar tentang Kitabul Iman. Hari ini, tajuk yang dibincangkan adalah mengenai akidah perihal rukun iman yang disebut didalam

Surah Al-Baqarah:285,
(Rasul (Muhammad) beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) dari Tuhanny, demikian pula orang-orang yang beriman. Semua beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata) "kami tidak membeza-bezakan seorang pun dari rasul-rasul-Nya" Dan mereka berkata " Kami dengar dan kami taat. Ampunilah kami ya tuhan kami, dan kepada-Mu tempat kami kembali. )

Surah An-Nisa' : 136
"Wahai orang-orang yang beriman! Tetaplah beriman kepada Allah dan rasul-Nya (Muhammad) dan kepada Kitab (Al-Qur'an) yang diturunkan kepada rasul-Nya serta kitab yang diturunkan sebelumnya. Barang siapa ingkar kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sungguh orang itu telah tersesat sangat jauh."

Surah-surah tersebut hanya menyatakan tentang 3 atau 5 rukun iman. Namun begitu, rukun iman yang ke-6 tidak dinyatakan di dalam Quran iaitu Kepercayaan kepada Qadaq dan Qadar. Ini kerana rukun ke-6 dianggap suatu yang istimewa. Ia terkandung bersama-sama rukun iman pertama iaitu Beriman kepada Allah. Hanya Allah yang berkuasa menentukan dan menetapkan setiap perkara mengikut kemahuanNya.


Ustaz seterusnya menyentuh perihal isu semasa iaitu berkaitan dengan penahanan 35,000 Kitab Kristian yang berbahasa Melayu di Pelabuhan Kelang.

Isu perihal mengapa Al-Kitab tersebut tidak dibenarkan keluar adalah kerana ia berkaitan dengan larangan penggunaan Kalimah Allah.

Ustaz Awang menjelaskan tindakkan itu adalah salah. Masyarakat perlu memahami bahawa Allah itu adalah tuhan yang satu. Ia adalah tuhan kepada semua bentuk dan makhluk di muka bumi ini.

Penganut Kristian mempertikaikan bahawa perkataan Allah bukannya hak ekslusif penganut agama Islam. Penganut Kristian Arab telah membahasakan tuhan dengan nama Allah sejak dahulu lagi. Maka mereka bertanya, adakah perkataan Allah itu hanya merujuk kepada tuhan dalam agama islam sahaja ?

Jika kita setuju dengan persoalan tersebut, maka telah berlaku keguguran dari segi akidah yang boleh menjejskan iman seorang muslim.

Seseorang muslim yang berilmu tidak boleh kata bahawa penganut kristian tidak boleh gunakan perkataan Allah kerana tuhan Islam dan tuhan kristian adalah dua perkara yang berbeza. Pendirian ini bercanggah dengan rukun Islam pertma iaitu beriman kepada Allah dengan mengatakan bahawa Allah itu satu.

Surah Al-Ikhlas:1-3 " Katakanlah (Muhammad) Dialah Allah, Yang Maha Esa/satu. Allah tempat meminta segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia. "

Ustaz mengatakan umat Islam tidak perlu risau akan kitab itu digunakan untuk memurtadkan orang Islam. Ini kerana didalam perlembagaan negara, fasal 3.4 melarang orang bukan Islam untuk berdakwah kepada orang Islam.

Saya amat bersetuju dengan pandangan Ustaz Ahamad kerana isu ini jika kita salah menanganinya ia boleh merosakkan nama Islam. Seperti yang telah dijelaskan bahawa Allah itu adalah tunggal dan Beliau boleh menentukan atau menetapkan sesuatu perkara menurut kemahuannya.

Cuba kita bayangkan jika kita berada didalam negara kristian dan kali ini mereka melarang sebarang terjemah dibuat pula dalam bahasa ingeris, pasti kita turut sama akan berasa marah.
Disebabkan itulah Al-Quran melarang kita mencela agama orang lain, takut-takut mereka juga akan mencela agama kita.

Saya berharap dengan penulisan ini, para pembaca tidak lagi berasa marah dan ragu jika Al-Kitab itu dibebaskan kepada pemiliknya walaupun tiada cop di stamp pada buku tersebut yang menandakan "untuk kegunaan penganut Kristian" . Mari kita berlapang dada dan yakin bahawa Allah pasti bersama-sama golongan yang benar.


Monday, March 21, 2011

Apa....Ahmad Jusoh kata menikah dimasjid menyimpang ajaran Rasullullah ?.


Saya tidak bersetuju dgn pendapat Dato' Ahmad Jusuh yang mengatakan akad nikah dimasjid menyimpang dari amalan Rasullullah dan menyamakan ia dengan amalan perkahwinan agama kristian. Sila baca artikel tersebut disini

Apakah benar terdapat hadis yang mengatakan bahawa Rasullullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah di dalam gereja dan yahudi dirumah ibadat mereka ?

Jika ia tidak wujud, maka ia merupakan pembohongan yang amat besar pada Allah dan RasulNya.

Bagi saya Dato' Ahmad Jusuh tidak bertanggugjawab dan kurang bijak didalam mengendalikan isu ini. Ia tidak sepatutnya dilontarkan kepada pihak awam yang kurang arif didalam pengetahuan agama mereka. Beliau sepatutnya membawa isu tersebut ke dalam Majlis Fatwa Kebangsaan untuk diperbincangkan dan diputuskan jika beliau merasakan amalan tersebut suatu yang melanggar perintah agama.

Sebagai seorang daripada anggota Majlis Fatwa Perlis, saya beranggapan beliau sepatutnya tahu dan faham akan kesan yang beliau telah timbulkan.

Sekarang, isu ini suatu perkara yang telah menjadi suatu perdebatan yang hangat didalam semua blog-blog dan laman-laman sosial. Jika ada dikalangan orang awam yang menerima pegangan tersebut, bukankah ia menjerumuskan mereka kepada membuat pembohongan kepada Allah dan RasulNya.

Jika nikah dimasjid disamakan dengan amalan kristian dan yahudi, maka adakah beribadah dimasjid itu dianggap menyerupai ibadah agama tersebut juga ? Tidakkah Dato' Jusoh memikirkan kesan pada isu yang telah ditimbulkan.

Hakikatnya tiada larangan yang melarang untuk bernikah dimasjid kerana beliau ada mengatakan bahawa pada zaman Rasullullah, nikah dimasjid terjadi apabila seorang wanita datang ke masjid dan meminta nabi mengahwinkannya. Walau pun hadis tersebut bertaraf daif (sila baca disini) namun apa yang saya ingin tekankan disini ialah jika amalan tersebut menyimpang dari sunnah Rasullullah, bukankah sudah tentu terdapat larangan daripada nabi yang jelas melarang umatnya melakukan nikah di masjid.

Saya berpendapat Dato' Ahmad Jusuh sepatutnya menekankan perihal adab-adab yang perlu dipatuhi oleh pelawat bila berada dimasjid.


Zaman sekarang, orang makin kurang ke masjid. Pada yang lelaki, mungkin dalam seminggu mereka ada ke Masjid sekali. Tetapi bagaimana pula dengan kaum hawa. Mungkin ada yang ke masjid cuma diwaktu hari raya.

Maka itu, jika bernikah dimasjid dilihat suatu yang kurang afdal berbanding jika dilakukan dirumah hanya kerana alasan ia mengundang banyak perlanggaran adab yang boleh membawa perkara maksiat, maka saya melihat langkah tersebut sebagai suatu langkah yang terkebelakang.

Kita sibuk berkempen untuk masyarakat memeriahkan masjid dengan menjadikan ia sebagai pusat kegiatan kemasyarakatan dan keilmuaan, jadi bukankah aktiviti bernikah dimasjid itu dapat membantu mengalakkan tabiat tersebut.

Adakah kita lebih suka melihat orang-orang kita bermegah-megah dengan banyaknya masjid yang ada dan indahnya hiasannya tetapi malas untuk mengunjunginya.

Bukankah berada dimasjid itu banyak hikmahnya. Dengan berada dimasjid, pahala seseorang itu tidak putus-putus mengalir, inikan pula berada didalam majlis ilmu iaitu saat dimana pihak kadi membacakan khutubah nikah agar menjadi iktibar pihak pengantin dan para hadirin yang hadir dan juga suatu majlis yang diibaratkan pahalanya seperti mendirikan masjid.

Jika banyak berlakunya pelanggaran didalam adab-adab dimasjid kini bukankah ia menandakan wujudnya kejahilan dikalangan hadirin yang hadir . Bagaimana kita mengatasi permasalahan ini.? Adakah dengan melarang nikah dimasjid dengan menekankan ia dilaksanakan dirumah dapat menyelesaikan masalah kejahilan yang wujud pada masyarakat.

Maka itu, ia menjadi suatu kewajipan kepada mereka yang berilmu untuk menasihati hadirin yang hadir supaya adab-adab dimasjid dipatuhi. Bukankan ia lebih baik begitu.




Sunday, March 13, 2011

Kesakitan itu menghapus dosa

Lama sudah aku tak menulis didalam blog aku ini. Kebelakangan ini, kesihatan tak berapa baik. Lepas satu penyakit ke satu penyakit yang datang menimpa badan aku.

Bermula denagan demam, selepas berjangkit dengan isteri aku. Baik sahaja demam, sakit gout datang menyerang pulak. Baru nak baik dari sakit gout, kemalangan pulak dengan budak Bangla yang naik basikal di Jalan Kewajipan dekat dengan Restoran A&W.

Bercerita tentang hal kemalangan ini, bila difikirkan balik kadang-kadang rasa geram jugak hati aku... Lebih-lebih lagi jika kita merupakan mangsa pada insiden tersebut. Semuanya berlalku dengan izin Allah pada keadaan yang kita tak menjangkakan. Cerita bagaimana ia terjadi ialah ia berlaku lebih kurang dalam 6.30 petang pada hari Khamis, 3 March 2011. Waktu itu aku dalam perjalanan pulang dari tempat kerja aku di Jalan Raja Chulan ke rumah di Shah Alam menggunakan motorsikal.

Bila tiba di Jalan Kewajipan, di Subang, sedang aku mengharungi jalan diantara kereta-kereta yang tersangkut didalam kesesakan trafik, tiba-tiba entah daripada mana muncul seorang Bangla yang menaikki basikal secara melawan arus dihadapan aku. Memandangkan aku pun terkejut beruk masa itu, aku pun tak sempat nak tekan break!. Maka 'bercium' lah kami ditenga-tengah jalan itu bersaksikan pengguna-pengguna lalulintas yang lain.
Hadiahnya, dapatlah aku luka-luka sedikit di kaki kiri dan lebam di mata kiri aku...Nasib baik tak buta Alhamdulillah. Angin satu badan jugak lah aku masa itu dan yang paling aku berangin ialah masa aku tengah terhegeh-hegeh nak bangun dari jatuh, budak Bangla itu boleh dengan selamba, angkat basikal dia dan cabut dari tempat kejadian. Nasib baiklah takdir menyebelahi aku, dompet dia tercicir. Aku periksa dalam dompet dia adalah dalam Rm33.

Kalau ikut hati, ingin aku belah sahaja dari situ. Tapi aku tau dia mesti datang balik carik dia punya dompet dan perkiraan aku tepat. Dalam 5 minit menunggu di tepi jalan aku nampak dia jalan terhegeh-hegeh kepada aku. Seterusnya aku tak payahlah nak cerita. Bila orang hati dah panas, tahu-tahu sahaja lah apa yang berlaku.

Namun aku takdelah kejam sangat. Aku pun takut akan hukuman Allah yang Esa. Tapi aku rasa aku berhak mendapatkan ganti rugi diatas luka dibadan dan kerosakan motorsikal aku jadi aku ambil RM25 didalam dompet dia dan tinggalkan RM8 untuknya. Itu pun dia masih nak berunding dengan aku untuk mintak dikurangkan dengan alasan duit tak cukup hendak digunakan untuk membeli beras. Tapi aku tahu Bangla ini kadang-kadang 'kencing kuat'(kelentong). Diorang ini kalau keluar memang tak bawak duit banyak dan mereka ini bab makan memang sangat berkira.

Bagi aku RM25 itu tak cukup nak tanggung segala ganti rugi yang aku alami pun tapi apa yang palaing penting aku dapat beri pengajaran sikit pada dia supaya lebih berhati-hati sikit bila menunggang basikal itu. Ini Malaysia bukan seperti keadaan jalanraya di Bangladesh. Suasananya berbeza.

Ini lah ujian-ujian yag ditimpakan Allah padaku. Namun secara keseluruhan daripada insiden tersebut aku sebenarnya terasa amat bersyukur kerana Allah tidak menimpa ujian yang amat teruk pada aku.

Sekarang ini ada rasa sihat sedikit. Bila kita terkena ujian-ujian sebegini, kita kena banyak-banyak bersabar dan berlapang dada kerana sakit yang menimpa itu kadang-kadang merupakan suatu rahmat Allah S.A.W.

Pelik, sakit pun suatu Rahmat ? Tapi bagaimana ? Ini kerana setiap kesakitan yang kita alami akan menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu dan meningkatkan darjat. (sila klik disini untuk membaca mengenainya )

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya"

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

"Bahkan di dalam satu lagi riwayat, Rasulullah bersabda bahawa dengan hanya tertusuk duri sekalipun, Allah bersedia untuk meninggikan darjat seseorang itu dan menghapuskan satu kesalahan dirinya.

"Jadi, jangan pandang sakit itu sebagai penderaan dan jangan pula mudah berburuk sangka kepada Allah. Bahkan sebaiknya kesakitan atau musibah itu dipandang sebagai nikmat untuk Allah membersihkan diri kita daripada segala dosa dan noda.




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...